Tuesday, 9 August 2011

Deraian Ombak

Deraian ombak itu deras memukul bebutiran pasir di pantai, dan sayup-sayup kawanan burung itu terbang di angkasa, seakan memahami apa yang terbuku di hati lelaki itu. Saat mentari petang bakal melabuhkan sinarnya, dituruti dengan kegelapan malam, kepalanya bingkas bercanda ligat memutar suasana hari itu.

Sepuluh minit cuma, akan berkumandanglah azan maghrib daripada masjid di tepian Laut China Selatan itu, namun sepuluh minit itu dia cuma mahukan ketenangan fikiran daripada semua yang menggasak. Di kiri dan kanan, manusia di sekelilingnya ada permasalahan yang tersendiri. Dia bungkam mengasingkan rambut dari tepung itu, andai terlalu pantas ditakuti tepung bercerai dan jatuh ke lantai, andai terlalu lambat digeruni rambut itu memaliti begitu banyak tepung yang bernilai.

Dia terpaku dan termangung sendirian, memikirkan perihal manusia-manusia itu. Dia cuba berfikir dan menatapi laut itu, terkadang lembut sekali badainya, terkadang jua garang sekali membidas pantai. Dia teringat masih akan Christopher McCandless, saat pria itu bosan dengan perwatakan segala "pelakon-pelakon" di sekelilingnya, tidak putus-putus bersikap hipokrit, tidak memperjuang apa yang lantang di fikiran atau di lidah hanya.

Sungguh lelaki itu tidak adil pada mereka, sungguh lelaki itu memandang mereka dengan pandangan yang sungguh bias dan tidak adil. Sungguh dia masih, keanak-anakkan mungkin.

No comments:

Post a Comment