Thursday, 7 July 2011

Sejarah

Sehingga kini, aku kelihatannya selalu sekali bercakap tidak serupa bikin, permikiran tidak selari perbuatan, falsafah hidup tidak menyetujui kemahuan hati. Aku mempersoal, dan mempersoal, namun apabila jawapannya telah dijumpai, aku lantas terus menarik diri, dan kembali ke jalan yang masih gelap sunyi.

Hari ini, aku berlaku nekad, berjanji teguh pada diri sendiri untuk tegar memegang falsafah. Akan tetapi aku takut benar, jikalau hari esok aku mungkir janji pada diriku sendiri. Mengkhianati janji, padaku bukanlah mainan seorang yang baik perwatakannya, jadi apa aku ini? Petualang, anjing bajingan seperti itu?

Empat puluh minit melepasi takuk 12 malam, tanggal 7 July 2011, genap 13 hari sebelum majlis konvokesyen universiti. Biarlah apa yang berlaku saat tiga tahun aku bergelumang di sini, akan terus tersimpan rapi dalam lipatan sejarah peribadi.

Aku mahu pulang ke tanah air, membuka lembaran baru, dan melupakan segala kenangan nan pahit lagi memilukan. Aku mahu cekal dan teguh menjunjung falsafah dan moral, aku mahu aku berubah.

No comments:

Post a Comment